Rabu, 21 Oktober 2009


SEJADAH BERDIRI
DI SURAU SEKOLAH


Orang ramai dan warga Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut di sini hari ini gempar apabila kejadian 'sejadah berdiri' seperti yang dilaporkan di beberapa tempat termasuk di Bukit Mertajam pada 2 Oktober lalu, kini berlaku pula di surau sekolah berkenaan.

Jika sebelum ini hanya sehelai yang didakwa berdiri tetapi kali ini sebanyak 35 helai sejadah dilihat berdiri mengikut saf iaitu 15 helai di ruang solat lelaki dan 19 helai di ruang solat wanita dengan sehelai daripadanya berada di bahagian hadapan seolah-olah mengimamkan solat.

Kejadian disedari pada pukul 10.55 pagi oleh seorang murid tahun dua, Nurul Huda Mat Jali, 8, yang mengikuti kelas pemulihan di pondok berdekatan, ternampak sesuatu yang ganjil melalui celah pintu cermin surau berkenaan lalu memberitahu kawan-kawan dan mereka memaklumkan kepada guru.

Ia bukan sahaja menarik perhatian warga sekolah yang tidak percaya ia 'dibuat-buat' oleh seseorang malah penduduk tempatan mula berduyun-duyun ke sekolah itu untuk menatap insiden yang dianggap fenomena luar biasa.

Menurut seorang guru di sekolah berkenaan, Adnan Abdullah, sebaik membuka pintu surau, dia terkejut apabila terpandang kedudukan sejadah tersebut dalam susunan seperti jemaah lelaki dan perempuan sedang mengerjakan solat dan duduk di antara dua sujud.

''Kejadian ini pertama kali saya lihat dan amat terkejut kerana kedudukannya terpisah antara jemaah lelaki dan wanita manakala kedudukan imam di bahagian hadapan.

''Lebih menghairankan ketinggian sejadah itu berdiri juga berbeza seolah-olah menunjukkan yang tinggi itu jemaah dewasa dan yang rendah adalah jemaah kanak-kanak,'' katanya.

Katanya, surau tersebut sudah seminggu tidak digunakan kerana dijadikan kelas sementara kerana ada bilik darjah yang dalam proses baik pulih.

Seorang lagi guru, Mat Yuti Hamid mendakwa, dia orang yang terakhir menggunakan surau itu petang semalam pada pukul 3.40 petang untuk solat zuhur dan ketika meninggalkan surau, dia melihat kesemua sejadah terletak di raknya.

''Semasa saya masuk, semua sejadah berlipat di atas rak bahagian belakang surau dan saya mengambilnya sehelai untuk digunakan. Selesai solat saya hanya melipat sejadah itu dan meninggalkan di ruang solat dan ketika itu tidak ada sebarang perkara aneh berlaku,'' katanya.

Sementara itu Pembantu Penguat Kuasa Pejabat Agama Pasir Mas, Kamaruddin Zakaria mendakwa, kejadian tersebut sengaja direka oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk mencipta suasana gempar.

''Berdasarkan pengamatan saya, insiden ini sengaja direka-reka untuk mengelirukan pandangan orang ramai dan mewujudkan suasana gempar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Selasa, 20 Oktober 2009

BEZA RON 95 DENGAN RON 97

Mulai 1hb September 2009, terdapat 2 jenis petrol yang akan dijual di stesen minyak di seluruh negara. RON 95 dijual pada harga RM1.80 per liter manakala RON 97 dijual pada harga RM2.05 per liter.


Untuk pengetahuan, RON (Research Octane Number) adalah oktan rating untuk petrol tanpa plumbum yang boleh dimampatkan sebelum terbakar secara spontan (secara tidak dirancang). Bila petrol terbakar secara mampatan dan bukan kerana api dari palam pencucuh, ia akan menyebabkan "KNOCKING". Knocking boleh merosakan enjin dengan teruk. Makin tinggi nombor oktan, makin susah bagi petrol untuk terbakar secara mampatan ( terbakar secara tak dirancang). Untuk enjin kereta berkuasa tinggi dengan nisbah mampatan yang tinggi (seperti injin berkuasa TURBO), petrol RON 97 adalah sangat diperlukan untuk meningkatkan kuasa kuda dan kecekapan enjin. Untuk normal aspirated enjin (sama ada dipasang "knock sensor" atau tidak) boleh menggunakan kedua-dua petrol RON 95 dan RON 97.


Pastikan anda menuang petrol yang sesuai dengan enjin kereta anda. Jika anda tak pasti, rujuk kepada buku manual kenderaan anda atau lihat maklumat di belakang penutup tangki petrol kenderaan anda atau hubungi mekanik anda. Penggunaan petrol dengan oktan rating yang salah akan menjejaskan prestasi dan kecekapan enjin kenderaan anda.

STRESS GURU

Dalam merealisasikan negara Malaysia sebagai pusat ilmuan, bidang Pendidikan merupakan tulang belakang bagi pembentukan dan penstrukturan sistem pentadbiran negara. Pendidikan juga merupakan senjata bagi pertahanan sesebuah negara seperti Malaysia untuk bertapak kukuh menempuh dunia global yang tiada bersempadan. Sistem Pendidikan di Malaysia mempunyai dua objektif utama, antaranya untuk melengkapkan para pelajar dengan kemahiran-kemahiran yang perlu sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan dan yang keduanya mengembangkan nilai-nilai setara yang diingini untuk membentuk pelajar sebagai warganegara yang bertanggungjawab kepada negara.

Guru-guru adalah domain utama yang diamanahkan dalam proses penerapan dan penyampai ilmu kepada anak watan, sama ada rela atau tidak mereka dituntut untuk membangunkan diri dengan sebarang bentuk perubahan serta pembaharuan yang berlaku dari masa ke semasa. Situasi tersebut secara umumnya mengakibatkan guru-guru terpaksa berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab yang lebih mencabar, lebih berat dan semakin kompleks.

Stres merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini. Kesihatan mental seperti yang didefinisikan oleh Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) adalah kebolehan mengekalkan hubungan yang harmoni dengan orang lain, ‘kebolehan dalam mengambil bahagian di dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebolehan untuk menyumbang khidmat kepada masyarakat’ (Kempen Cara Hidup Sihat, Kementerian Malaysia, 2000). Apabila seseorang itu berhadapan dengan stres, sudah tentu ia akan gagal untuk berfungsi dengan baik di dalam masyarakat. Menurut kajian yang dilakukan oleh Institute of Stress di New York, Amerika terdapat 90 peratus daripada lelaki dewasa mengalami stres yang kuat sekurang-kurangnya dua kali seminggu, manakala 25 peratus lagi mengalami stres setiap hari.

Menurut Kyriacou (1991), isu stres di kalangan guru-guru telah menjadi isu yang besar dan hangat di dalam masyarakat. Sememangnya tugas guru sebagai seorang guru amat mencabar sekali, di dapati kebanyakan guru mengalami tekanan kerja secara kerap. Isu ini diperbesarkan oleh pihak akhbar dan menyatakan bahawa keluarga profesion perguruan di tiap-tiap sekolah di negara ini mempunyai guru yang mengalami sakit jiwa kerana beban tugas dan tanggungjawab (Omar Mohd Hashim, 1993).

Stres merupakan satu pengalaman yang lumrah dalam kehidupan manusia. Setiap manusia tidak dapat lari daripada tekanan yang boleh berpunca dariapada peristiwa-peristiwa dalam kehidupan baik dalam bentuk fizikal, sosial dan psikologikal. Kesan stres ke atas seseorang individu banyak bergantung kepada ciri-ciri dan sikap individu itu bagaimana untuk mengatasinya.

Menurut Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi di sidang kemuncak pendidikan (2004), ‘Profesion guru tidak lagi dipandang tinggi sebagaimana sebelum ini. Perkara ini adalah satu yang menyedihkan. Kejayaan anak muda kita banyak bergantung kepada kualiti guru-guru mereka, untuk itu kita perlu berusaha secara serius dan merancang bersama bagi meningkatkan sistem pendidikan dengan melipat ganda motivasi serta memperbaiki bidang perguruan’. Beban tugas yang banyak akan menyebabkan stres di kalangan guru dan untuk meningkatkan mutu pendidikan, guru perlulah menangani stres yang dialaminya, ini kerana mutu dan kualiti pelajar adalah terletak pada gurunya.

Pelbagai definisi telah cuba diberikan oleh beberapa orang yang menghuraikan makna stres. Smither (1994) mentakrifkan tekanan sebagai respon fisilogikal dan psikologikal ke atas permintaan terhadap seseorang. Schafer (1992) mendefinisikan tekanan sebagai kebangkitan minda dan badan seseorang dalam bertindak balas kepada permintaan terhadap dirinya. Fontana (1989) pula memberi definisi tekanan sebagai permintaan yang dibuat ke atas keupayaan penyesuaian minda dan badan seterusnya menjelaskan sekiranya keupayaan seseorang itu dapat menangani permintaan itu, maka tekanan itu akan mendatangkan kesan yang positif.

Manakala menurut Riggo, 1990 ( dalam Syed Shafiq, 2005), stres merupakan reaksi emosi fisiologikal dan reaksi psikologikal kepada sesuatu ancaman. Reaksi fisiologikal di sini merujuk kepada penambahan kadar pernafasan dan denyutan jantung, tekanan darah dan juga perpeluhan.

Menurut Tolman & Shelden (2004) apabila tekanan menjadi keterlaluan, individu itu tidak akan dapat berfungsi dengan baik dan menguasai tekanan yang dihadapinya serta penentuan darjah tekanan hidup yang dialaminya. Sesuatu tekanan, menjejaskan atau tidak adalah bergantung kepada jenis tekanan hidup yang dihadapi dan kelemahan individu itu bergantung kepada punca tekanan. Tolenrasi seseorang terhadap tekanan pula adalah bergantung kepada personalitinya, pengalaman seseorang individu itu dengan punca tekanan dan bagaimana tekanan itu memberi kesan ke atas dirinya pada masa lain.

Stres boleh menyerang sesiapa sahaja tidak mengira pangkat, peringkat umur, bangsa, latar belakang keluarga, budaya seseorang mahupun jantina. Menurut (Hatta Sidi dan Mohamed Hatta Shaharom (2002), stres boleh diibaratkan sebagai pengalaman global yang dilalui oleh semua manusia sejagat. Stres seolah-olah telah sebati dengan jiwa manusia yang dibuai mimpi serta bagi mereka yang mengejar cita-cita pada hari ini.

Stres merupakan penyakit emosi yang tidak dapat dipisahkan di dalam kehidupan kita. Pada umumnya, stres ialah ancaman terhadap individu. Ia lahir daripada perubahan luaran atau dalaman yang melebihi keupayaan individu mengendalikan hidupnya sehingga menjejaskan kehidupan harian.

Manakala mengikut Lazarus dan Opton (1966), berpendapat bahawa stres merupakan suatu konsep multidimensi, iaitu ia mengaitkan komponen psikologi dengan pelbagai sistem tubuh manusia, melibatkan perasaan subjektif dan tindak balas minda dan fizikal yang terhasil daripada permintaan (atau cabaran).

Stres adalah reaksi individual seseorang terhadap ketegangan, perubahan atau konflik yang dihadapinya dalam kehidupan sehari-hari. Reaksi ini bersifat subjektif, sangat tergantung pada konsep diri dan ketahanan mental, kerana suatu sumber masalah akan menyebabkan stres bagi seseorang, namun mungkin bagi sesetengah individu ia bukan menjadi suatu masalah. Contohnya hari pertama masuk sekolah, bagi anak dengan kemampuan sosial yang rendah merupakan sumber stres, namun bagi anak dengan kemampuan sosial yang baik bukanlah stres yang memberi erti untuknya.